Perhimpunan Haram 901: Polis Beri Amaran Keras

Perhimpunan Haram 901

KOTA BHARU – Polis Kelantan memberi amaran keras akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan suasana tidak tenteram dalam negeri berhubung perhimpunan haram ‘Kempen Bebaskan Anwar 901.’

Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menghadapkan individu yang cuba mengedarkan risalah berkaitan perhimpunan haram itu ke muka pengadilan.

“Saya nasihatkan kepada orang ramai jangan cuba-cuba nak tunjuk sentimen tidak bagus terhadap Kelantan dalam isu 9 Januari. Jangan cuba-cuba semarakkan sentimen tidak sihat, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada pengedaran risalah (mengenai perhimpunan haram terbabit),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial antara pemangkunya, Deputi Supritendan Nazely Mohd. Said kepada Supritendan Mohamed Zulmazi Che Daud di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Menurut Jalaluddin, pihaknya akan menyiasat mengenai pengedaran risalah membabitkan perhimpunan haram itu yang dilaporkan berlaku di Pasir Mas dan Machang.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, polis sedang menyiapkan kertas siasatan bagi membolehkan individu terbabit dalam pengedaran risalah berkaitan Fitnah II Komplot Najib/Rosmah Penjarakan Anwar di Kuala Krai dan Tanah Merah kelmarin, dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kita akan siasat dan pihak terbabit akan dituduh di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya. – mynewshub.my

0 Tinggalkan Komen Anda Di Sini.:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 CeCiTeR | Blogger.com