Najib Umum Bonus Insentif Produktiviti Peneroka Felda

Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada Jumaat mengumumkan Felda akan membayar bonus insentif produktiviti antara RM400 dan RM1,200 kepada peneroka tanah rancangan itu pada tahun ini, kadar yang sama seperti tahun lepas.

Pembayaran bonus insentif berjumlah RM102.6 juta itu yang bergantung kepada penghantaran hasil, melibatkan 95,949 daripada 112,635 peneroka Felda bagi menghargai sumbangan mereka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil melalui Felda, kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

Bonus insentif itu akan dibayar di pejabat rancangan Felda pada akhir bulan ini.

“Kerajaan berharap pemberian bonus ini akan menjadi perangsang kepada peneroka untuk berusaha lebih gigih untuk meningkatkan produktiviti masing-masing,” kata Najib.

Beliau berkata peneroka yang menghantar hasil melalui pengurusan rancangan dinilai berdasarkan penghantaran hasil dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum ialah 8.01 tan/hektar manakala ganjaran maksimum ialah mereka yang menghantar hasil melebihi 19 tan/hektar.

Bagi peneroka getah pula, kelayakan minimum ialah 600.01 kg/hektar dan ganjaran maksimum diberi kepada mereka yang menghantar hasil melebihi 1,400 kg/hektar.

Peneroka yang terlibat dalam penghantaran hasil sawit dan getah adalah seramai 32,865 orang terdiri daripada 27,069 peneroka sawit dan 5,796 peneroka getah.

Najib berkata seramai 60,584 peneroka menanam semula bersama Felda dan akan menerima bonus maksimum RM1,200 seperti tahun lepas.

Katanya Felda turut memberi pertimbangan khas kepada peneroka yang prestasi hasilnya rendah akibat tanaman tidak produktif serta menunggu giliran untuk tanaman semula melalui cara mengambil kawasan kebun mereka untuk tujuan pembangunan.

Mereka yang terlibat dalam kategori itu ialah tanaman peneroka yang hasilnya rendah disebabkan serangan musuh tanaman.

Kira-kira 2,500 peneroka yang terlibat dan kadar bayaran ialah RM400 seorang.

Najib berkata seramai 16,686 peneroka didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan hasil kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan.

Peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil juga tidak dibayar bonus insentif, katanya.

“Saya menyeru warga peneroka agar menyertai program bersama Felda selaras dengan usaha berterusan agensi itu untuk meningkatkan paras pendapatan peneroka melalui bimbingan dan khidmat nasihat yang disedikan,” kata Perdana Menteri. – BERNAMA

0 Tinggalkan Komen Anda Di Sini.:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 CeCiTeR | Blogger.com