Lagi Kes "Keldai" wanita ditahan




ALOR SETAR - Satu lagi cubaan menjadikan Kedah sebagai laluan pengedaran dadah, berjaya ditumpaskan polis dengan tertangkapnya seorang wanita warganegara Thailand berusia 29 tahun, dalam operasi di Terminal Bas Shahab Perdana, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, penahanan wanita terbabit dalam serbuan kira-kira jam 8.15 malam itu membawa kepada penemuan 18 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja, yang dimasukkan ke dalam beg pakaian.

Menurutnya, wanita terbabit dipercayai dalam perjalanan membawa dadah dari negeri ini untuk pasaran Kuala Lumpur.


“Kesemua 18 ketulan dadah itu dianggarkan seberat 17.4 kilogram (kg) dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM43,200, dan wanita terbabit kini direman bermula 9 Disember hingga 16 Disember ini untuk siasatan lanjut.

“Dua telefon bimbit milik wanita berkenaan turut dirampas manakala maklumat pada pasport wanita terbabit menunjukkan bahawa ini adalah kali pertama dia masuk ke negeri ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media, semalam.

Ahmad berkata, selepas penahanan beberapa warga asing dalam serbuan bersama polis dari Bukit Aman ke atas makmal dadah di Mergong bulan lalu, Kedah masih terus menjadi laluan pengedar dadah dari negara jiran.

“Kedah didapati menjadi laluan oleh pengedar dadah dari negara jiran termasuklah menggunakan stesen bas sebagai laluan mereka.

“Nampaknya masih ada pihak-pihak tertentu yang tidak merasa takut walaupun sudah banyak tangkapan yang dibuat, bagaimanapun kita berdiam diri sebaliknya akan terus membuat pemerhatian dari semasa ke semasa,” katanya.
berita penuh di sini

0 Tinggalkan Komen Anda Di Sini.:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 CeCiTeR | Blogger.com