Mati dihempap dahan pokok




MELAKA – Seorang bapa yang nyaris maut dihempap dahan sebatang pokok jenis akasia 10 tahun lalu terpaksa menerima hakikat kehilangan seorang anak lelakinya apabila juruteknik pendingin hawa itu mati dihempap dahan pokok yang sama selepas ia patah di Jalan Ayer Salak di sini semalam.

Tan Yee Meng, 63, tidak menyangka yang anaknya, Tan Yong Wee, 21, menemui ajal dalam keadaan tidak disangka-sangka ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Ayer Salak, Bukit Rambai di sini untuk menemui abang mangsa di Tanjung Minyak pada pukul 10.45 pagi. Jarak antara dua tempat itu kira-kira lima kilometer.

Menurut Yee Meng, dia tidak menyangka tragedi yang menimpanya 10 tahun lalu berulang kembali tetapi kali ini lebih teruk hingga mengakibatkan nyawa anaknya melayang.
“Sepuluh tahun lalu saya hanya mengalami cedera ringan setelah terjatuh dari motosikal ketika mengelak dahan pokok yang patah.

“Sungguh tidak sangka dahan pokok yang sama pula menimpa Yong Wee,” rintihnya yang bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan oleh jirannya mengenai kejadian itu.
Sementara itu, saksi kejadian, Lim Kang Sui, 53, berkata, dia yang berada kira-kira 100 meter di belakang mangsa nampak bagaimana Yong Wee terjatuh dan diseret motosikalnya sendiri selepas dihempap dahan pokok tersebut.

Sumber:Kosmo

0 Tinggalkan Komen Anda Di Sini.:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 CeCiTeR | Blogger.com