5 Meninggal Dunia Susulan Kejadian Gempa Bumi Aceh


JAKARTA – Gempa bumi kuat berukuran 8.5 pada skala Richter pada petang Rabu yang diikuti beberapa gegaran susulan mengakibatkan lima meninggal dunia, seorang kanak-kanak parah dan enam cedera ringan setakat ini.

Kebanyakan mereka yang meninggal dunia adalah disebabkan serangan jantung kerana terkejut dengan kejadian itu, kata Ketua Pusat Data dan Maklumat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho, di sini Khamis.

Kanak-kanak yang cedera parah kerana ditimpa pokok di Aceh Singkil itu kini berada dalam keadaan kritikal, namun pihak berkuasa belum mengeluarkan data mengenai jantina kanak-kanak tersebut.

Mangsa yang cedera ringan pula terdiri daripada empat orang dari Simeuleu dan dua dari Aceh Singkil.

BNPB masih mengumpulkan data mengenai jumlah mangsa dan kerosakan harta benda dalam kejadian tersebut.

Sebahagian besar penduduk Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Bengkulu dilapor telah kembali menjalankan aktiviti seperti biasa. – BERNAMA

0 Tinggalkan Komen Anda Di Sini.:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 CeCiTeR | Blogger.com