JKM Buat Laporan Polis Terhadap Pengasuh Taska



JOHOR BAHARU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Khamis membuat laporan polis terhadap dua bekas pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Taman Kota Masai di sini yang didakwa menampal pita pelekat pada mulut dan melilit kain bedung pada bayi jagaan mereka serta menyebarkan gambar tersebut di Internet Disember tahun lepas.

Laporan dibuat oleh Pegawai Mohd Faizal Abu Bakar tengah hari tadi di Balai Polis Sentral dengan diiringi Pengarah JKM Johor, Khatijah Abdullah dan Timbalannya Bazlan Ismail.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Khatijah berkata laporan terhadap wanita berumur 20 dan 22 tahun itu dibuat bagi tindakan lanjut polis, memandangkan perbuatan seumpama itu boleh menyebabkan gangguan emosi terhadap kanak-kanak.

“JKM membuat laporan mengikut Seksyen 29 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengasuh terbabit mencederakan kanak-kanak dari segi fizikal dan emosi dan tidak memaklumkannya kepada JKM. Mana-mana pihak yang tidak mematuhi Seksyen berkenaan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Akhbar dua hari lepas mendedahkan klip video yang menunjukkan lebih lima bayi yang sedang tidur di sebuah bilik di sebuah Taska ditampal dengan pelekat pada mulut mereka selain dililit dengan menggunakan kain bedung oleh dua bekas pengasuh Taska terbabit. – BERNAMA

0 Tinggalkan Komen Anda Di Sini.:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 CeCiTeR | Blogger.com