Skuad Olimpik Negara Tewas Kepada Bahrain

Skuad Olimpik Negara Tewas Kepada Bahrain
KUALA LUMPUR – Malaysia sudah boleh melupakan hasrat beraksi pada Sukan Olimpik di London Julai ini selepas kalah 1-2 kepada Bahrain pada perlawanan keempat pusingan ketiga kelayakan Olimpik Zon Asia di Stadium Kebangsaan Bahrain di Manama, Ahad malam.

Kekalahan itu merupakan kekalahan keempat skuad kendalian Ong Kim Swee itu selepas tunduk 2-3 kepada lawan sama pada perlawanan ketiga 27 Nov lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan sebelum itu mereka juga mengalami kekalahan masing-masing kepada Jepun dan Syria dengan jaringan 0-2.

Skuad Olimpik negara dikejutkan dengan jaringan penyerang tuan rumah Husain Hashem Mohamed Al Alawi pada minit ke-26 menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti untuk mengalahkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Bagaimanapun, Malaysia bangkit pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-84 selepas menerima hantaran cantik daripada Wan Zack Haikal Wan Noor.

Tersentak dengan gol tersebut, pengendali sementara Bahrain Peter Taylor membuat pertukaran tiga pemain dan hasilnya pemain tengah tuan rumah Husain A. Jalil Khalil Al Farhan berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk pasukan Bahrain pada minit ke-89.

Kemenangan tersebut membolehkan Bahrain mengumpul enam mata untuk mengekalkan kedudukan ketiga kumpulan manakala skuad negara terus menduduki tangga tercorot tanpa mengutip mata selepas empat perlawanan.

Malaysia akan bertemu dengan Jepun pada 22 Feb ini sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Syria pada 14 Mac ini di laman lawan.

Terdahulu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama, Syria mengatasi Jepun, 2-1 di Stadium Antarabangsa Raja Abdullah di Amman, Jordan.

Gol Syria dijaringkan oleh Mohamad Ahmad Fares pada minit ke-18 dan Ahmad Al-Salih pada minit ke-90 manakala gol saguhati Jepun dijaringkan oleh Kensuke Nagai pada minit ke-45.

Kemenangan tersebut membolehkan Syria merampas kedudukan pendahulu daripada Jepun dengan mengumpul sembilan mata namun dibezakan dengan jumlah jaringan. – BERNAMA

0 Tinggalkan Komen Anda Di Sini.:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 CeCiTeR | Blogger.com