Mayat menggelembung disangka patung

Mayat menggelembung disangka patung

TANJUNG KARANG: Misteri bau busuk yang dihidu ibu bapa ketika mahu mengambil anak mereka di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Yik Khwan, di sini, semalam, terbongkar dengan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan menggelembung, di Sungai Kampung Bagan Pasir, bersebelahan sekolah itu tengah hari semalam.

Pengawal keselamatan sekolah berkenaan, Shahrul Nizam Mohd Pamuji, 25, berkata dia menerima aduan ibu bapa pelajar sekolah itu mengenai bau busuk dari arah sungai, jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, dia dan beberapa ibu bapa pergi ke jambatan berhampiran sekolah itu sebelum terlihat sesuatu terapung di sungai berkenaan.

“Kami nampak sesuatu terapung seperti patung di sungai itu. Walaupun kedudukan kami ketika itu kira-kira 50 meter, namun bau busuk amat menusuk.

“Selepas diamati benda yang terapung itu bukan patung, tetapi mayat seorang wanita berbaju tidur.

“Saya menghubungi polis sebelum mayat wanita berusia 30-an itu diangkat pada jam 1.15 tengah hari dengan bantuan bomba,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang menggunakan alat khas pencangkuk untuk menarik mayat itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

Harian Metro

0 Tinggalkan Komen Anda Di Sini.:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 CeCiTeR | Blogger.com