SPRM mula siasat pemain Perlis

SPRM mula siasat pemain Perlis

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula mengambil keterangan daripada pemain-pemain bola sepak skuad Liga Perdana Perlis semalam berhubung dakwaan gejala mengatur perlawanan, baru-baru ini.

Sekurang-kurangnya lima pemain Perlis dilihat memasuki pejabat SPRM di Wisma Persekutuan di Kangar bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Pertemuan itu adalah untuk memberi keterangan berhubung dakwaan wujudnya kes seumpama itu selepas perlawanan Liga Premier antara MP Muar dengan Perlis yang menyaksikan skuad Singa Utara itu dibelasah 7-2 pada 9 Januari lalu.

Pengarah SPRM Perlis, Alias Darus memberitahu, pemain-pemain terbabit dipanggil sekadar untuk memberikan keterangan bagi membolehkan SPRM mendapatkan maklumat lanjut berhubung kesahihan dakwaan tersebut.

“Buat masa ini, kita cuma mendapatkan keterangan daripada pemain-pemain berkenaan untuk diteliti sama ada dakwaan berhubung gejala tersebut wujud atau sebaliknya," katanya kepada pemberita.

Kosmo! semalam melaporkan SPRM akan mengadakan pertemuan dengan sembilan pemain Perlis yang disyaki terlibat mengatur perlawanan, baru-baru ini.

Ia ekoran siasatan ke atas seorang pemain skuad Liga Perdana Perlis berhubung gejala mengatur perlawanan berikutan kekalahan teruk Perlis kepada MP Muar.

Beberapa akhbar turut melaporkan bahawa terdapat laporan mengenai sebahagian besar pemain Liga Perdana negeri itu telah berjumpa dengan bookie di Alor Setar sebelum perlawanan menentang MP Muar.

Kelmarin, SPRM telah mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) untuk mendapatkan maklumat mengenai kesahihan dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut Alias berkata, pihaknya perlu mendapatkan keterangan pemain terlebih dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya.

Sumber:kosmo

1 Tinggalkan Komen Anda Di Sini.:

EnciK AxixOu berkata...

kalau cm gini smpai bila2 xmaju bolasepak..harap xde fitnah2..n SPRM kne siasat btul2 neh..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 CeCiTeR | Blogger.com