Budak Lemas Mandi Di Pantai Temalah

Budak Lemas Mandi Di Pantai Temalah

KOTA TINGGI – Kegembiraan lima sekeluarga dari Felda Linggiu ketika berkelah di Pantai Temalah, Sedili Besar, dekat sini semalam bertukar ngeri apabila salah seorang daripada mereka ditemui mati lemas.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari ketika mangsa, Muhammad Nabil Iqbal Samsudin, 6, sedang mandi bersama abangnya, Muhammad Nabil Syazwan, 7, serta kakaknya, Norsyazwani, 8, di pantai peranginan berkenaan.

Menurut ibunya, Kamariah Najib, 35, dia besama suami datang ke pusat peranginan itu untuk bercuti bersama tujuh keluarga lain dalam satu majlis pertemuan semula bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Laksamana.

“Sungguh saya tak sangka percutian yang kami rancang itu bertukar tragedi apabila seorang anak saya pergi buat selama-lamanya. Sebelum ini saya tidak setuju suami mengajak ke tepi pantai.

“Entah mengapa kali ini saya bersetuju malah adik (mangsa) merupakan orang yang paling gembira sebaik sampai di sini dan tidak sabar untuk mandi,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Samsudin Abu Sari, 40, berkata, ketika kejadian tersebut mereka sedang bersiap untuk makan tengah hari dan tidak menyedari anaknya itu turun ke laut sebelum menyedari ada pengunjung lain mengangkat tubuh seorang budak.

Sejurus selepas itu, dia menyatakan terdengar jeritan anak perempuannya baru dia menyedari budak itu adalah anak keduanya, Muhammad Nabil Syazwan yang berada dalam keadaan lemah sebelum diberi bantuan pernafasan.

“Setelah semuanya berkumpul, baru isteri saya perasan seorang lagi anak kami hilang dan dimaklum oleh Norsyazwani yang adiknya itu telah tenggelam,”katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau memberitahu, mayat mangsa itu ditemui pasukan penyelamat kira-kira pukul 10.30 pagi tadi kira-kira 1.8 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya. – mynewshub.my

0 Tinggalkan Komen Anda Di Sini.:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 CeCiTeR | Blogger.com