Bayi 8 Bulan Derita Kanser Otak



PULAU PINANG – Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Mohd Fariz Shah Putra Abdul Razak terpaksa menanggung derita apabila dia disahkan menghidap kanser otak.

Bukan itu sahaja, Fariz juga memiliki kepala bersaiz besar dan terpaksa menjalani pembedahan secara berperingkat serta sudah empat pembedahan telah dilakukan ke atasnya.

Bapanya, Abdul Razak Yahya, 48, berkata, anak keduanya itu disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak berusia tujuh bulan.

“Ketika menjangkau usia berkenaan, anak saya tidak dapat melakukan sebarang pergerakan dan anak matanya sahaja yang mampu digerakkan.

“Justeru, saya dan isteri terus membawa anak ke hospital dan di situlah dia disahkan menghidap penyakit kanser otak,” kata Abdul Razak.

Malah, rawatan serta perbelanjaan harian buat isteri dan anaknya itu juga tidak mampu diuruskan apabila dia juga tidak dapat bekerja kerana menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok.

“Isteri tidak bekerja kerana menguruskan rawatan anak di hospital dan perbelanjaan sekarang dibantu oleh rakan-rakan.

“Sebelum ini, anak sulung saya turut mengalami masalah berkepala besar sejak dilahirkan namun dengan izin Allah ia berjaya disembuhkan.

“Namun, dugaan terhadap saya dan isteri sekali lagi diuji apabila anak kedua turut menghidap penyakit yang sama dan saya tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan keadaan diri yang turut mengalami masalah kesihatan,” katanya.

Walau bagaimanapin, penderitaan dan kesusahan yang dihadapi keluarga Abdul Razak turut dikongsi bersama Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Duri.

Pengerusi JKKK Sungai Duri, Othman Jusoh, berkata, masalah yang dihadapi Abdul Razak dan keluarga akan dibantu olehnya.

“Pihak JKKK akan membantu Abdul Razak untuk mendapatkan bantuan daripada pihak bertanggungjawab bagi meringankan beban yang dihadapi,” kata Othman.

Oleh: mynewshub

Foto: Sinar Harian Online

0 Tinggalkan Komen Anda Di Sini.:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 CeCiTeR | Blogger.com